Pemain beregu campuran profesional, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, perlu memanfaatkan aksi dalam tiga kejohanan utama bulan ini dengan meraih mata maksimum untuk diletakkan sebagai calon ke Sukan Olimpik 2020.

Ketiadaan mereka beraksi dalam Piala Sudirman jelas memberi impak besar terhadap kutipan mata ranking ke temasya Tokyo itu.

Mereka kini berada di tangga ke-16 kelayakan ke Tokyo, dua kedudukan di bawah bekas rakan sepasukan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, yang menduduki tempat ke-14 dan dalam posisi bahaya memandangkan ranking sembilan hingga 16 menyaksikan hanya satu slot untuk negara layak beraksi berbanding gandingan lapan terbaik yang menawarkan dua slot untuk satu negara.

Justeru, tiga kejohanan berturut-turut, bermula di Indonesia, Jepun dan Thailand, perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kembali meletakkan mereka di landasan sebenar untuk layak ke pentas Olimpik buat kali ketiga.

"Kami mesti tampil dengan aksi terbaik kerana ia melibatkan mata buat saya dan Liu Ying. Kebanyakan pemain dalam kelompok 10 teratas beraksi dalam saingan Piala Sudirman dan ia memberikan mata yang banyak. Kami sudah rugi," ujar Peng Soon.

Bagi ranking Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Peng Soon dan Liu Ying di landasan terbaik untuk layak ke saingan akhir yang akan berlangsung di Guangzhou, Disember depan setelah menghuni kedudukan pertama, sekali gus memberi kejohanan tambahan untuk mengutip mata ke Olimpik.

"Sekarang, semua sasaran untuk Kejohanan Dunia. Namun, kelayakan Olimpik juga menjadi sasaran utama. Jadi, apabila masuk ke gelanggang, kami perlu beraksi sehabis baik," katanya lagi.