Perjalanan penakluk gergasi, Datu Mohd Shah Eizlan Sardik Mohd Shah Eizlan Sardik, dalam Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 di Arena Badminton Perak, Ipoh, berakhir petang tadi.

Pemain Sabah itu yang menyingkirkan pilihan utama, Lee Zii Jia, dalam pusingan kedua pagi tadi, tersingkir dalam suku akhir kepada Lim Chong King 20-22, 16-21 dalam perlawanan selama 34 minit.

Chong King akan bertemu pilihan keempat, Leong Jun Hao, yang layak ke separuh akhir petang esok selepas mengetepikan cabaran pilihan ketujuh, Zulkiffli Zulhelmi, 15-21, 21-18, 21-13 dalam pertarungan 63 minit.

Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menemukan pilihan ketiga, Soong Joo Ven, dengan pilihan kelima, Lim Chi Wing.

Joo Ven menumpaskan Teh Jin Hong 21-10, 21-8 dalam perlawanan selama 19 minit. Chi Wing pula mengatasi Lee Shun Yang 21-16, 21-11.

Dalam perseorangan wanita, Goh Jin Wei tidak menghadapi masalah ke separuh akhir selepas merakam kejayaan 21-11, 21-9 ke atas Saranya Navarathnarajah.

Lawannya dalam separuh akhir petang ini ialah pilihan ketiga, Lee Ying Ying, yang terpaksa mengerah keringat selama 58 minit sebelum menyingkirkan Letshana Karupathevan 17-21, 21-18, 21-19.

Pilihan kedua kejohanan, Soniia Cheah, turut bergelut ketika bertemu S. Kisona sebelum menang 15-21, 21-11, 21-16.

Soniia akan bertemu pilihan keempat, Lim Yin Fun, yang mudah mengatasi Shannia Dedee Richard 21-10, 21-11.