Jurulatih badminton perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, percaya pemain negara mampu mengingkatkan lagi keupayaan andai lebih konsisten dalam persembahan mereka.

Bahagian perseorangan wanita negara mempamerkan aksi yang lebih baik dalam Piala Uber di Bangkok, Thailand, khususnya ketika berdepan dua lawan utama, iaitu Indonesia dan China.

Soniia Cheah dan S. Kisona masing-masing memperoleh kemenangan ketika menentang Indonesia manakala Goh Jin Wei meraih mata tunggal sewaktu tewas 1-4 kepada China.

Seu Bock menganggap persembahan mereka ini melepasi jangkaannya tetapi pada masa sama ingin mereka terus meningkatkan lagi keupayaan mereka dalam pertandingan lain selepas ini.

"Kurang konsisten satu lagi masalah. Tahap permainan mereka sudah tinggi. Contohnya, Jin Wei tidak dapat menyangi pemain Indonesia tetapi bangkit ke atas pemain China.

"Mungkin dia tertekan ketika menentang wakil Indonesia. Tetapi, sebagai pemain, tidak kira situasi yang dialami, mereka harus mengatasinya," katanya.

Dalam pada itu, Seu Bock juga mahu melihat pendekatan lebih kompetitif dipamerkan anak didiknya, terutama ketika sesi latihan, andai mereka ingin terus memberi persaingan hebat di antara satu sama lain.

Antara tugasan utama buat pemain negara selepas ini sudah pasti Kejohanan Dunia di Nanjing, China pada penghujung Julai depan di samping Sukan Asia Indonesia sebulan kemudian.

"Bukan cakap mereka tidak bagus, bukan kata mereka tiada keinginan. Mereka hanya perlu bekerja lebih keras lagi dan kena belajar menerima keadaan.

"Kalau susah sekalipun dalam latihan, penat ataupun tertekan sekalipun, mereka perlu atasi dan belajar," katanya lagi.