Pemain luar datang berguru dengan Rashid 

Oleh Staff Writer 12 Ogos 2019 14561
Pemain luar datang berguru dengan Rashid 
Bekas jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek, bukan sahaja bertanggungjawab untuk mempersiapkan pemain tempatan, malah turut menurunkan ilmunya kepada beberapa pemain antarabangsa.

Ketika ini, jurulatih di Akademi Badminton Sport Affairs, Cheras, itu giat mempersiapkan perseorangan profesional, Liew Darren, serta pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou. 

Namun, sejak dua minggu lalu, Rashid menerima kunjungan beberapa pemain luar negara untuk berlatih di bawah pemantauannya, antaranya Emre Lale dari Turki dan Zvonimir Durkinjak (Croatia) selain perseorangan wanita nombor 10 dunia dari Amerika Syarikat (AS), Zhang Beiwen.

Ini bukan kali pertama memandangkan Januari lalu, jaguh Denmark, Viktor Axelsen, turut bertandang ke sini sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Masters Malaysia.

"Sepanjang latihan mereka di sini, saya perlu memberitahu apakah kelemahan dan bahagian yang perlu diperbaiki mereka kerana ia sebahagian daripada tanggungjawab saya. 

"Mereka bukan datang ke sini untuk menjalani latihan semata-mata dan sedikit-sebanyak, saya akan mencurahkan ilmu yang ada," katanya pagi tadi. 

Lale, pemain di ranking ke-101 dunia, bakal berentap dengan Angus Ng Ka Long dari Hong Kong dalam pusingan pertama sementara Durkinjak akan membuat perhitungan dengan Michal Rogalski dari Poland.



Beiwen pula, yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan kejohanan, mendapat laluan percuma untuk terus beraksi dalam pusingan kedua.

"Kali pertama saya ke mari adalah sempena menghadapi Terbuka Indonesia dan segalanya berjalan dengan sangat lancar, sebab itulah saya membuat kunjungan kedua. 

"Jurulatih sangat bertanggungjawab ke atas pemain," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen