Skuad badminton lelaki negara mempunyai harapan cerah untuk mencabar tiket secara merit ke Piala Thomas tetapi skuad wanita negara berada dalam kedudukan sukar ke Piala Uber berdasarkan undian Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina.

Kejohanan Berpasukan Asia yang akan berlangsung 11 sehingga 16 Februari ini merupakan kelayakan ke pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber di Aarhus, Denmark Mei depan.

Undian hari ini menyaksikan skuad lelaki sekumpulan dengan Taiwan dan Singapura sementara skuad wanita berdepan ujian daripada juara bertahan Piala Uber, Jepun, di samping Hong Kong.

Berdasarkan ramalan, skuad lelaki berupaya muncul juara kumpulan dan memperoleh undian berdepan lawan lebih mudah dalam suku akhir manakala skuad wanita perlu menewaskan Hong Kong untuk sekurang-kurangnya ke suku akhir.

"Ini boleh dikatakan sebagai kelebihan buat skuad negara. Saya berharap pemain-pemain mengambil serius terhadap saingan ini kerana setiap pasukan memiliki pemain yang berkemampuan yang mengatasi Malaysia, begitu juga dengan kemampuan wakil Singapura ," kata Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh.

"Laluan agak sukar buat skuad wanita, tetapi mengatasi pasukan Hong Kong dapat meningkatkan peluang untuk ke suku akhir

Sementara itu, pemantapan skuad lelaki ke Manila dengan kudrat beregu profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang baru sahaja muncul juara Masters Thailand baru-baru ini disifatkan BAM sebagai satu keperluan.

Ini atas dasar kredibiliti perseorangan yang dianggap masih jauh dengan seteru lain.

"Mereka berhak untuk disertakan ke dalam skuad menghadapi saingan Berpasukan Asia. Mereka telah membuktikan kemampuan dan secara taktikalnya dapat membantu pasukan," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.


Editor: Ammar Hakim