Jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang, tidak menolak gandingan Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying akan kembali sekiranya Liu Ying berjaya mendapatkan semula prestasi terbaik susulan kecederaan yang dialaminya sebelum ini.

Liu Ying, yang menjalani pembedahan bahu pada Mei lalu, kini berganding dengan pemain remaja, Chen Tang Jie dan Cheh Chang tidak menolak Peng Soon dan pasangan barunya, Cheah Yee See, bakal dipisahkan walaupun mereka mempamerkan peningkatan positif.

Dia mahu mengembalikan semula kegemilangan beregu yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu jika tahap kecergasan Liu Ying berada di tahap memuaskan untuk kembali berganding dengan Peng Soon.

“Semasa sesi latihan, kami memang ada memberikan dia berpasangan bersama Peng Soon.

“Kami ada berbincang dengan Liu Ying untuk fokus kepada kejohanan yang kecil terlebih dahulu. Mungkin dia boleh membantu pemain-pemain muda seperti Tang Jie.

“Kami akan menggabungkannya semula bersama Peng Soon apabila sudah sampai masanya,” kata Cheh Chang.

Liu Ying kini sedang bersedia untuk berdepan cabaran antarabangsa di India pada 29 November, di mana tiada sasaran tinggi diletakkan, sebaliknya Cheh Chang mahu dia mendapatkan kembali momentum beraksi dalam kejohanan bersama Tang Jie.

“Setakat ini, saya masih belum boleh membuat keputusan mengenai Liu Ying.

“Sudah tentu kami mahukannya mara ke peringkat yang jauh tetapi perlu lihat kepada tahap pemulihannya,” ujarnya.