Selepas setahun kemarau tanpa sebarang kejuaraan, gandingan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, mahu memadamkan badi itu dengan sekurang-kurangnya menggapai satu gelaran juara untuk tahun ini.

Kali terakhir gandingan itu menjulang gelaran juara adalah ketika GP Emas Masters Malaysia 2017 di Sibu, Sarawak pada awal tahun lalu.

Di sebalik menduduki rangking ke-10 dunia, mereka mengakui kedudukan tersebut tidak memberi sebarang makna jika gagal menjulang sebarang gelaran.

"Selepas Masters Malaysia, keputusan kami kurang bagus. Tetapi pada tahun ini, kami mengharapkan pencapaian separuh akhir atau akhir dalam Siri Super. Ini sasaran kami.

"Dalam ranking dunia, kami harap dapat kekal berada dalam kelompok 10 terbaik," kata Pei Jing ketika ditemui dalam majlis pelancaran jersi baru Kelab Badminton (KB) Puchong United, hari ini.

Selain Pei Jing, pasukan itu turut diperkuatkan pemain kebangsaan dan antarabangsa seperti Goh Liu Ying, Chou Tien Chen dan Yoo Yeon Seong dalam usaha merampas kejuaraan Purple League musim 2018 selepas dikecewakan KB Petaling Jaya di pentas final musim lalu.

"Saya harap dapat bermain di Genting (final). Dalam laluannya, saya juga berharap boleh beraksi cemerlang untuk membantu Puchong United," kata Liu Ying.