Pemain beregu wanita negara, Pearly Tan, mengidamkan gandingan baru yang mempunyai semangat juang luar biasa seperti yang pernah ada dalam diri pasangannya, Toh Ee Wei, yang kini tidak lagi bersama skuad kebangsaan ekoran masalah kesihatan.

Pearly dan Ee Wei melakar kejayaan cemerlang apabila mara ke final Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu.

Namun, keghairahan untuk terus mencipta impak terhenti apabila Ee Wei yang mengalami masalah sinus kronik terpaksa mengambil keputusan mengundurkan diri selaku pemain kebangsaan tahun ini.

Pearly tidak menolak bukan mudah untuk mencari pasangan seperti Ee Wei dan kini amat memerlukan kerjasama jurulatih, Rosman Razak, untuk sama-sama menilai pemain yang benar-benar sesuai digandingkan bersamanya.

"Ee Wei seorang pejuang. Dia hanya memberitahu saya mahu menang. Saya juga suka apabila ada rakan gandingan yang memberi tentangan. Saya sukakan semangat yang dia miliki," kata Pearly.

Buat sementara waktu, Pearly akan bergandingan dengan Yap Ling di mana keserasian mereka akan diuji buat kali pertama dalam Siri Antarabangsa Laos minggu depan serta Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Hong Kong bulan depan.

"Sekarang ada sasaran tetapi ini yang pertama, jadi saya risau pasangan saya tertekan. Saya menyasarkan untuk ke separuh akhir," tambah Pearly.