Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan melaksanakan janji bahawa seluruh pemain pasukan Selangor yang muncul juara Kejohanan Badminton Liga Remaja Kebangsaan diterima penyertaan mereka ke dalam Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, bagaimanapun, menjelaskan ia bergantung kepada beberapa kriteria yang perlu ditepati, antaranya penilaian kecergasan pemain.

"Saya rasa ini adalah impian kepada semua pemain untuk berlatih di bawah satu bumbung bersama pemain idola mereka.

"Semua pemain tertakluk kepada syarat kami, termasuk ujian perubatan dan pertemuan dengan keluarga mereka," katanya selepas berakhir kejohanan itu, hari ini.

Norza turut gembira dengan kelancaran penganjuran kejohanan itu kerana ia mencapai matlamat utama badan induk berkenaan untuk mencungkil bakat di peringkat akar umbi.

"Satu semangat untuk menjadikan kejohanan ini sebagai kejohanan tahunan atau kejohanan tradisi.

"Kami melihat, kalau adakan secara berpasukan, ia akan melibatkan lebih ramai pemain," ujarnya.

Kedah dan Pulau Pinang terkenal sebagai kilang pemain buat skuad kebangsaan tetapi dalam saingan ini, mereka perlu berpuas hati apabila meraih naib juara kategori lelaki dan perempuan selepas masing-masing tewas 3-1 kepada Selangor.