Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan terburu-buru mencari calon bagi mengisi jawatan pengarah kejurulatihan memandangkan pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik hanya akan bermula pada Januari 2019.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, mempertahankan pendirian badan induk itu dalam melantik pengarah kejurulatihan, cuma mereka harus berhati-hati untuk mendapatkan calon bersesuaian.

Beliau juga menjelaskan bahawa dua kriteria utama perlu dipenuhi, iaitu memahami struktur gerak kerja BAM serta melihat kekangan kewangan yang dihadapi.

Buat masa ini, Norza masih belum bersedia mendedahkan nama calon-calon berpotensi untuk mengisi jawatan berkenaan.

"Calon itu harus peka untuk meningkatkan kekuatan mental dan menyuntik disiplin yang tinggi dalam kalangan pemain sambil memahami situasi badminton Malaysia di persada dunia.

"Kami tidak mahu terburu-buru kerana struktur ketika ini sudah cukup. Apa yang penting adalah persediaan untuk menuju ke Tokyo 2020," katanya.

Sementara itu, Norza turut mengambil berat kebimbangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, mengenai prospek badminton negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau meminta agar semua pihak bersabar tatkala BAM sedaya-upaya mencari jalan mengatasi kepincangan yang sedang berlaku dalam kem badminton negara.

"Pendekatan kami adalah kepada pemain-pemain muda, iaitu di bawah umur 23 tahun. Perkara ini telah lama dilaksanakan, sebagai contoh adalah nama seperti Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Goh Jin Wei dan lain-lain. Mereka telah menunjukkan peningkatan yang baik."