Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, menganggap naib juara Kejohanan Remaja Dunia, Leong Jun Hao, sebagai satu permata yang perlu dijaga untuk terus cemerlang di peringkat tertinggi.

Meskipun gagal bergelar juara remaja dunia, Norza tetap memuji prestasi Jun Hao sambil menyifatkannya sebagai permata yang tidak boleh dipandang sebelah mata untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Norza tidak mahu seseorang pemain muda itu hanya menyerlah di peringkat remaja dan mengalami prestasi tidak menentu selepas bergelar pemain senior.

Dalam masa sama, Jun Hao yang juga juara remaja Asia itu tidak boleh terlalu selesa, sebaliknya harus sentiasa cuba memperbaiki prestasi dan konsisten dalam memberikan aksi terbaik dalam kejohanan.

“Saya telah menghantar pesanan kepada Datuk Misbun (Sidek) bahawa Jun Hao perlu diberikan lebih pendedahan dalam kejohanan-kejohanan akan datang dan kami tidak mahu pemain-pemain muda terumbang-ambing apabila memasuki peringkat senior,” kata Norza.

Norza ditemui dalam majlis penyerahan surat pengiktirafan ahli gabungan BAM kepada Persatuan Badminton Putrajaya (PJBA) setelah disahkan bakal meraih bantuan geran tahunan bagi tujuan pembangunan sukan badminton akar umbi dalam usaha melahirkan barisan pelapis buat negara.

“Jika sebelum ini, mereka bergantung kepada sumbangan orang ramai atau kepimpinan Putrajaya, hari ini mereka akan menerima layanan sama-rata seperti ahli gabungan yang lain.”

Mengenai prestasi terkini pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei, Norza meminta kepada semua pihak agar tidak memberikan tekanan kepadanya sambil mengingatkan setiap peminat badminton negara agar menghormati pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu.

“Kami harus menerima hakikat, malah seluruh rakyat Malaysia perlu akur bahawa Chong Wei adalah legenda kita tetapi tekanan terhadapnya perlu dihentikan. Kami sentiasa cuba untuk terus mencari penggantinya untuk masa depan," katanya lagi.