“Bila tiba masanya, dia akan kembali membuat kemunculan kepada umum.” Demikian tegas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, yang mengharapkan peminat sukan tanah air memberikan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, masa sebelum menampilkan dirinya semula.

Sejak seminggu lalu, Chong Wei tiba ke tanah air selepas menjalani rawatan hampir tiga bulan di Taiwan tetapi masih tiada perkhabaran tentang sidang media yang dijanjikan.

Dalam masa sama, BAM hanya menanti kata putus daripada Chong Wei kerana menghormati permintaan peribadi bekas pemain nombor satu dunia itu untuk berehat.

Namun, Norza percaya Chong Wei perlu diberikan masa sebelum menjelaskan secara terperinci mengenai keadaan kesihatannya kepada umum.

Chong Wei dilaporkan sedang berehat di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

"Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, sistem imunisasi Chong Wei masih di tahap rendah.

"Dia tidak boleh terdedah kepada jangkitan seperti tampil di hadapan umum.

"Atas nasihat doktor, dia perlu berehat di rumah dalam tempoh dua tiga minggu ini," kata Norza.

Sementara itu, ekoran kejayaan perseorangan wanita, Goh Jin Wei, mencipta sejarah meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina, BAM sedang dalam pertimbangan untuk memberikan pemain berusia 18 tahun itu ganjaran hasil usaha cemerlang mengharumkan nama Malaysia.

"Kami akan menilai bentuk ganjaran yang boleh diberikan.

"Dia merupakan permata yang perlu digilap sepenuhnya tetapi dalam masa sama, BAM memberi layanan sama adil kepada semua pemain berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI)," katanya.