Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, memberi bayangan bahawa program Datuk Lee Chong Wei akan menjadi sebahagian daripada agenda perubahan penting yang bakal dilaksanakan badan induk itu.

Agenda utama BAM pastinya tertumpu kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Isnin ini.

Perkara utama yang akan dibentang sudah pasti masa depan beregu utama lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang dijangka akan digandingkan dengan pasangan lain.

Atas dasar itu, Norza menegaskan akan ada pengumuman lain yang disifatkan akan memberi kesan besar kepada kem negara.

"Apabila saya menyertai BAM, ini merupakan tempoh peralihan untuk kami melihat kesesuaian setiap individu.

"Kita tunggu dan lihat pada Isnin ini kerana akan ada beberapa pengumuman lain," ujar Presiden BAM itu.

Norza turut menjelaskan mengenai pentingnya kehadiran ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek, dalam mesyuarat pada Isnin ini.

Sehubungan itu, ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Tey Seu Bock, akan memainkan peranan untuk membantu Chong Wei menghadapi saingan Siri Super Terbuka Jepun, minggu depan.

"Misbun akan berada di sini untuk menghadiri Mesyuarat C&T dan membentangkan perancangannya."