Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi kelonggaran kepada pemain profesional yang bernaung di luar badan induk itu untuk beraksi dalam sebarang kejohanan antarabangsa daripada tahap dua hingga lima.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, mahu bersikap lebih terbuka dalam soal itu agar lebih ramai pemain berbakat mampu diketengahkan untuk mewakili negara.

Berdasarkan kelas yang dilakukan itu, pemain yang tidak bernaung di bawah BAM, sekiranya layak, boleh bermain dalam Kejohanan Super Series 1000.

Bagaimanapun, BAM akan mempertimbang beberapa syarat tambahan seperti kedudukan ranking semasa sebelum memberi lampu hijau buat mana-mana pemain mewakili negara.

"Ia harus berdasarkan kedudukan tertentu seperti bawah 200 dalam ranking dunia dan sebagainya. Kami mahu memastikan bahawa pemain-pemain yang ingin diketengahkan itu harus mampu untuk melayakkan diri.

"Kami perlu mengesahkan kualiti dan tahap yang dimiliki oleh pemain itu sendiri," katanya.

Selain itu, Norza menafikan mereka mengambil pendekatan itu sebagai langkah menjimatkan sumber kewangan BAM.

Beliau menjelaskan BAM melihat akademi persendirian pada masa ini sudah boleh berdiri di atas kaki sendiri dalam melahirkan lebih ramai atlet badminton negara.

"Sebelum ini, mereka tidak melakukan sebarang pelaburan disebabkan kriteria yang ditetapkan. Kini, kami membukanya. Persoalannya, segalanya terserah kepada mereka untuk melihat sama ada pelaburan itu perlu atau tidak.

"Anda boleh membuat keputusan tetapi terserah sama ada mahu melakukan pelaburan itu."