Juara Kebangsaan 2019, Soong Joo Ven, perlu terus meyakinkan barisan kejurulatihan meskipun sudah disenaraikan dalam skuad Piala Sudirman 2019 dari 19 hingga 26 Mei depan.

Ini kerana dia masih perlu bersaing dengan Cheam Jun Wei bagi kedudukan sebagai perseorangan kedua skuad negara.

Antara peluang buat Joo Ven untuk mencapai aspirasi itu adalah menerusi aksi memberangsangkan dalam Terbuka New Zealand.

Memandangkan dia berada di luar kelompok 32 pemain terbaik dunia, maka Joo Ven perlu memulakan kempen Terbuka New Zealand di peringkat kelayakan.

"Sudah tentu saya perlu buktikan kemampuan diri, baik dalam kejohanan mahupun ketika sesi latihan.

"Ia akan menjadi saingan yang sukar buat saya berikutan saya perlu melalui dua pusingan kelayakan terlebih dahulu dan dijangka berdepan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk.

"Dia merupakan lawan yang sukar.

"Dalam pertemuan yang lalu, saya telah berhempas-pulas, namun masih gagal mengatasinya.

"Saya harap keyakinan saya semakin melonjak selepas kejayaan menjulang gelaran dalam Kejohanan Kebangsaan," katanya.