Hayat Goh V Shem dan Tan Wee Kiong sebagai gandingan kekal untuk tempoh sekurang-kurangnya sehingga minggu depan tatkala Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan teragak-agak untuk memisahkan mereka.

Ketiadaan ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit, yang mengiringi pemain ke Terbuka Vietnam adalah antara faktor perbincangan lanjut diperlukan.

Sebelum ini, Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost, menegaskan keputusan masa depan mereka akan diputuskan minggu ini.

Kegagalan tersingkir dalam pusingan kedua Kejohanan Dunia bulan lalu menjadi bukti terakhir terhadap kemerosotan prestasi pasangan beregu ketujuh dunia itu.

"Banyak pendekatan yang dicadangkan seperti membuat perbincangan dengan pemain dan sebagainya.

"Tetapi, saya masih ingat apa yang saya beritahu Frost minggu lalu, dia perlu memberikan penyelesaian segera sama ada dia mahu mengekalkan pasangan ini ataupun tidak. Kalau tidak mahu, apakah pilihan yang ada.

"Kita tidak boleh menerima cara seperti ini. Kita akan lihat apa yang akan berlaku nanti tetapi kami akan membuat keputusan penting minggu depan," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Pencapaian V Shem-Wee Kiong musim ini:

1. Suku Akhir Piala Sudirman
2. Suku Akhir Terbuka India
3. Suku Akhir Terbuka Singapura
4. Suku Akhir Seluruh England

5. Pusingan Kedua Kejohanan Dunia
6. Pusingan Kedua Kejohanan Asia

7. Pusingan Pertama Terbuka Malaysia
8. Pusingan Pertama Terbuka Australia