Kejohanan badminton Purple League yang memasuki tahun kelima akan menarik lebih ramai pemain berkelas dunia dengan pemain Jepun di ranking kedua, Kento Momota, dijangka akan membuat penampilan.

Berbanding musim lalu, saingan Purple League yang akan dikenali sebagai Purple League Corporate akan diwarnai lebih ramai pemain dalam ranking empat terbaik dunia.

Jaminan itu diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Purple League, Datuk Jack Koh, namun dia enggan mendedahkan secara terperinci nama pemain-pemain terbabit.

Bagaimanapun, difahamkan salah seorang pemain yang dalam perbincangan adalah Momota, bintang Jepun yang semakin bersinar.

"Saya mahu mengumumkannya dalam sidang media seterusnya dan mendedahkan nama bintang yang bakal beraksi. Terdapat beberapa pemain yang berada dalam ranking tertinggi dunia," kata Jack ketika
ditemui semasa majlis pelancaran Purple League musim 2018/2019 yang turut dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, hari ini.

Purple League Corporate akan bermula pada 20 Disember depan dengan pusingan akhir bakal diadakan di Arena Of Stars, Genting Highlands pada Januari 2019.

"Saya rasa Purple League harus dicontohi oleh sukan-sukan lain, di mana pembangunan bukan hanya perlu ditanggung oleh kerajaan atau persatuan tetapi turut disebarkan secara meluas melalui penyertaan kelab-kelab swasta," ujar Steven.