Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, mahu Malaysia mengetahui dia tidak akan melengahkan masa dalam memastikan negara kembali memiliki gandingan yang berupaya menjadi pasangan nombor satu dunia.

Soon Kit kini boleh fokus dalam membentuk semula beregu elit negara selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersetuju untuk memisahkan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Malah, gandingan baru mereka, Teo Ee Yi, yang akan beraksi bersama V Shem serta Ong Yew Sin bersama Wee Kiong menyambut baik keputusan ini.

Keputusan perlawanan tidak akan menjadi ukuran dalam dua aksi mereka di Eropah pada hujung bulan depan, sebaliknya elemen lain seperti membentuk keserasian akan diberi keutamaan.

"Kita tidak boleh membuat rombakan hanya berdasarkan dua kejohanan. Jika kita terus berbuat demikian, maka kita tidak akan ke mana-mana.

"Selepas dua pertandingan, kami akan kembali membuat penilaian.

"Mungkin kami akan mencubanya semula sehingga pada satu peringkat, kami perlu membuat satu lagi keputusan.

"Saya agak yakin mereka mampu melakukannya dengan baik," katanya.

Jika segala-galanya berjalan mengikut perancangan, Soon Kit berpandangan tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan peningkatan.

Ini berdasarkan pengalaman dia membentuk dua gandingan prolifik ketika bergelar pemain bersama Soo Beng Kiang dan Yap Kim Hock.

"Ia tidak akan mengambil masa yang lama (untuk mewujudkan keserasian) kerana saya pernah digandingkan dengan Soo Beng Kiang dan Yap Kim Hock.

"Ia hanya menuntut komitmen dan disiplin daripada kedua-dua pihak.

"Dengan kesungguhan, ia tidak memerlukan jangka waktu yang lama," tambahnya.