Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, yakin segala persiapan telah diharungi sebaik mungkin dalam merencana strategi untuk menghadapi kempen pembuka tirai Piala Thomas berdepan Russia esok.

Malaysia akan memulakan cabaran memburu kejuaraan Piala Thomas dan Russia menjadi lawan pertama dalam aksi peringkat kumpulan.

Walaupun tempoh persiapan skuad negara menghadapi saingan kali ini agak singkat kerana jadual yang padat, Misbun tetap optimis bahawa skuad negara, terutama pemain-pemain perseorangan negara, tidak sabar untuk turun ke gelanggang.

"Kami telah memulakan latihan di venue kejohanan dan setiap pemain sudah tidak sabar untuk beraksi menampilkan persembahan cemerlang," kata Misbun.

"Jangka masa singkat tidak menggugat pemain-pemain kerana tumpuan mereka adalah cuba memberikan yang terbaik," katanya.

Saingan Piala Thomas kali ini menyaksikan kombinasi baru serta berpengalaman menjadi taruhan buat bahagian perseorangan negara.

Diterajui Chong Wei serta Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebagai senior dalam pasukan, mereka dibantu dua tenaga muda, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao.

Ditanya mengenai strategi bagi memilih pemain yang tepat untuk beraksi, Misbun menyatakan hari pertandingan akan menentukan siapa yang bakal diturunkan.

"Kami akan membuat sebarang perubahan melihat kepada keadaan yang perlu ditempuhi. Buat masa ini, kami kekal dengan Lee Chong Wei sebagai perseorangan nombor satu pasukan," ujarnya.