Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan Datuk Lee Chong Wei menjelang sidang media khas oleh pemain itu esok.

Sejak pulang ke tanah air susulan rawatan kanser hidung di Taiwan awal bulan lalu, masih tiada perkhabaran daripada Chong Wei mengenai masa depan kariernya.

Segalanya akan terjawab esok dengan pemain berusia 36 tahun itu akan berdepan media buat kali pertama.

Ramai menjangkakan Chong Wei akan kembali semula ke gelanggang, sekali gus menutup spekulasi bahawa dia akan bersara.

"Seorang pemain yang kuat tetapi penuh dengan emosi. Saya menerima dan menghormati sebarang keputusan yang dilakukan dalam sidang media esok. Chong Wei telah memberikan segala yang termampu untuk Malaysia," kata Misbun.

Kali terakhir Chong Wei beraksi adalah dalam Terbuka Indonesia, Julai lalu, sebelum mengambil keputusan berehat untuk menjalani rawatan, sekali gus menyaksikan dia terlepas aksi Kejohanan Dunia di Nanjing, China serta Sukan Asia Indonesia.