Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengesahkan Datuk Misbun Sidek, bakal mengisi jawatan baru bersama badan induk itu.

Jawatan pengarah teknikal skuad remaja negara menjadi salah satu tumpuan dalam penstrukturan semula pogram kejurulatihan skuad kebangsaan.

Jurulatih berusia 59 tahun itu, yang ketika ini menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih pemain lelaki senior, menjadi calon utama dalam peralihan tersebut atas kepakaran yang dimilikinya.

Spekulasi pelantikan yang membabitkan Misbun akhirnya terjawab selepas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengesahkannya manakala pengumuman rasminya akan dibuat dalam masa terdekat.

"Misbun akan menerajui pasukan remaja negara dan saya akan bentangkan perkara ini dalam mesyuarat minggu pertama bulan depan agar pihak pengurusan meluluskan perkara tersebut," katanya di Semarak hari ini.

Dalam perkembangan lain, Norza turut menekankan keperluan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, agar beraksi lebih konsisten bagi memastikan slotnya ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Peluang Zii Jia ke Sukan Olimpik sangat cerah, cuma kami melihat prestasinya tidak tekal.

"Ada perkara yang perlu dia perkemaskan, contohnya kecergasan daripada segi mental dan fizikal."



Editor: Shaiful Shamsudin