Jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, bersedia untuk menurunkan ilmu "teknik pemusnah" buat anak didiknya, Lee Zii Jia, bagi memastikan pemain itu mampu mencabar kelompok terbaik dunia.

Zii Jia berjaya menginjak daripada kedudukan ke-75 dunia ke tangga ke-28 dalam tempoh 18 bulan dan Misbun percaya pemain itu bakal mendaki tempat yang lebih tinggi untuk tahun ini.

Mengakui peningkatannya itu lebih cepat daripada jangkaan, Misbun sudah sedia untuk mempersiapkan Zii Jia dengan senjata pemusnah bagi mencabar kelompok 10 pemain terbaik dunia.

Ia berbeza dengan teknik yang diterjemahkan kepada Datuk Lee Chong Wei suatu ketika dahulu yang memerlukan jaguh perseorangan itu melalui tempoh lima tahun untuk menguasainya.

"Apa yang paling ditakuti mengenai pemain seperti Zee Jia adalah teknik 'overlapping' yang dilakukan secara tiba-tiba. Pukulan smash juga menampilkan kekuatan yang berbeza," kata Misbun.

"Dia merupakan seorang pemain yang mempunyai kekuatan semulajadi tetapi tidak konsisten."

Namun, Zii Jia tetap dituntut untuk berlatih antara 140 jam sehingga 160 jam sebulan bagi mengasah pukulan yang mampu menjerat lawan.

"Bagi saya, memang ia sedikit tekanan. Jika ramai orang bercakap mengenai perkara ini, saya hanya mahu fokus dan tidak mahu ia memberi kesan kepada prestasi saya," ujar Zee Jia.