“Mengapa harus Datuk Lee Chong Wei diuji begitu hebat?”

Itu luahan ketua jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, sewaktu kali pertama berbicara tentang penyakit barah yang membelenggu anak buahnya itu.

Misbun adalah antara individu terawal yang mengetahui bahawa Chong Wei menghidap kanser hidung tetapi berdiam diri atas dasar menghormati waktu sukar yang dihadapi bekas pemain nombor satu dunia itu.

Sebagai mentor, Misbun tewas di sebalik situasi luar biasa itu kerana tidak berdaya melakukan apa-apa untuk Chong Wei seperti kebiasaannya di dalam gelanggang.

"Saya terlalu sedih dengan apa yang menimpa Chong Wei pada usia yang begitu muda. Kita sedia maklum bahawa kanser merupakan pembunuh segala penyakit.

"Apa yang penting, dia menerima cabaran yang terlalu berat menimpa diri dia," kata Misbun.

Misbun tahu apa yang diidamkan dunia dan Chong Wei secara peribadi, iaitu untuk kembali ke pentas kompetitif.

Waktu ini, dia lebih rela melihat Chong Wei berehat panjang sebelum memikirkan untuk memegang raket dan mengerah keringat semula.

"Jika dia tahu tentang sebarang perkara yang memudaratkan, Chong Wei harus mengambil iktibar.

"Kalau dia bersedia untuk kembali ke gelanggang dalam masa terdekat, saya tiada masalah kerana dia telah melalui proses bagaimana untuk bangkit menjadi pemain yang hebat," ujarnya.