Barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) senada dengan tindakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang mahu pencegahan yang lebih tegas kepada perkara tidak bermoral seperti judi dan mengatur perlawanan.

Sebelum ini, BWF memberi amaran kepada mana-mana pemain yang terlibat dengan perbuatan mengatur perlawanan bahawa mereka tidak akan terlepas daripada hukuman.

Antara kaedah yang digunakan BWF ialah dengan menemu duga pemain dan jurulatih secara rawak bagi mendengar apa yang telah terjadi serta mengenal pasti perkara yang meragukan berlaku.

Barisan jurulatih BAM menyokong tindakan BWF itu bagi mencegah perkara tidak bermoral yang dianggap sama taraf seperti kes doping.

"Apa yang dilakukan BWF adalah tindakan yang bijak menerusi siasatan yang dijalankan oleh pihak pakar dan sebagai jurulatih.

"Saya sentiasa menasihati pemain-pemain bahawa tiada istilah jalan pintas," kata ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek.

Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak, turut menyuarakan pandangan hampir serupa dengan berkata: "Kami menyokong bahawa perkara ini harus dibendung dan kami sebagai pelatih harus memastikan pemain-pemain tidak terlibat dengan gejala atur perlawanan ini."

Badminton Malaysia terpalit dengan kes mengatur perlawanan apabila dua pemain profesional, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang, masing-masing digantung 20 dan 15 tahun serta denda oleh BWF, tahun lalu.