Ketua jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, terpaksa menilai kembali program latihan untuk jaguh kebangsaan, Datuk Lee Chong Wei, agar pemain itu bersedia menjelang kelayakan Olimpik bermula 1 Mei depan.

Chong Wei disahkan sihat daripada barah hidung yang menimpanya sejak tahun lalu, namun atas nasihat doktor, dia tidak dibenarkan menyertai kejohanan kompetitif seperti Terbuka Malaysia atas faktor kecergasan.

Misbun akan duduk berbincang dengan Chong Wei dan merangka kembali program latihan yang bersesuaian.

Buat masa ini, pemain berusia 37 tahun itu hanya berlatih tiga kali seminggu di gelanggang Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Masih tiada kata putus mengenai waktu untuk Chong Wei akan kembali beraksi dengan kali terakhir pemain itu membuat penampilan di gelanggang adalah dalam Kejohanan Terbuka Malaysia tahun lalu.

"Sudah tentu. Apa yang penting, ia bergantung kepada Chong Wei sendiri. Kalau dia benar-benar mahu bermain, saya sudah sediakan perancangan untuk dia tetapi kami harus perlukan satu persiapan khusus untuk kesihatan Chong Wei," kata Misbun.

Misbun perlu mencari tiga pemain perseorangan, termasuk satu simpanan, untuk beraksi bersama skuad Piala Sudirman di Nanning, China Mei depan.

Melihat kepada ketiadaan Chong Wei yang masih belum pasti akan menyertai kejohanan itu, pilihan yang ada buat Misbun dalam kem kebangsaan kini tertumpu kepada Lee Zii Jia.

Justeru, Misbun sedia untuk mendapatkan perseorangan profesional, Liew Darren, bagi membantu skuad Malaysia, namun ia tertakluk kepada budi bicara Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Saya terbuka tetapi apa yang penting adalah komitmen daripada pemain dan itu yang kami mahukan dalam Piala Sudirman. Jadi, bagi saya, kemenangan memang penting dan barisan pemain yang terkuat harus diturunkan daripada acara keseorangan," tambah Misbun.

Bagi Zii Jia, ia bakal menjadi pentas terbaik untuknya memandangkan dua tahun lalu di Gold Coast, dia sekadar menjadi pemain simpanan di belakang Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

"Memang ada tekanan buat saya. Sebelum ini, saya pernah beraksi dalam Piala Thomas, jadi saya pernah lalui tekanan secara berpasukan. Namun, ia boleh membantu saya untuk tampil dengan prestasi lebih bagus," ujar Zii Jia.