Pasti ramai peminat badminton tanah air tertanya-tanya adakah Misbun Ramdan Misbun akan menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam masa terdekat?

Ketika ditemui dalam Kejohanan Kebangsaan Celcom Axiata pada Februari lalu, Ramdan tenang menjawab apabila ditanya.

“Itu kena tanya papa (Misbun Sidek),” katanya.


Kepulangan Datuk Misbun Sidek ke pangkuan BAM sebagai ketua jurulatih perseorangan negara bermula 1 Julai ini mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan peminat badminton tanahair memandangkan salah satu tugasnya adalah untuk memastikan legasi pemain perseorangan dapat diteruskan.

Misbun mahu anaknya itu membuktikan kebolehannya terlebih dahulu kerana dia diberi amanat untuk memilih pemain yang mempunyai potensi serta berkaliber.

"Jika dia mahu, dia perlu buktikan kemampuannya. Saya tidak memilih kasih. Siapa yang bagus saya akan pilih," ujar Misbun.

Untuk rekod, Misbun Ramdan mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Kebangsaan Celcom Axiata 2017 setelah menewaskan naib juara GP Emas, Chong Yee Han, 21-9, 27-29, 21-11 dalam saingan separuh akhir tetapi tewas kepada penyandang juara, Lim Chi Wing, 21-19, 21-8 dalam final.