Pemain perseorangan negara perlu mencabar kemampuan untuk beraksi dalam pertandingan di tahap lebih tinggi andai mahu mencapai impian layak beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Itu harapan yang disuarakan ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, dalam mengulas peluang pemain-pemain negara layak ke temasya sukan terbesar itu.

Tempoh kelayakan selama setahun akan bermula pada 29 April 2019.

Berdasarkan kedudukan ranking semasa, hanya Datuk Lee Chong Wei dijangka mampu mengekalkan diri dalam kelompok 16 terbaik sehingga tamat tempoh kelayakan.

Ia satu cabaran buat pemain-pemain lain, apatah lagi beberapa pemain profesional seperti Liew Daren dan Chong Wei Feng, pasti akan menjadi halangan.

"Perseorangan negara perlu bersaing dengan pemain profesional lain.

"Selagi mereka tidak dapat berada dalam pertandingan yang lebih tinggi, mereka belum tentu dapat melayakkan diri ke temasya itu," kata Misbun.

Dalam pada itu, Misbun menganggap pencapaian pemain perseorangan negara sepanjang musim ini sebagai memuaskan walaupun mengakui wujud beberapa aspek yang perlu diperbaiki.

Antara yang menyerlah adalah Lee Zii Jia yang menjuarai Terbuka Taiwan, Oktober lalu, selain pemain muda seperti Leong Jun Hao turut menyerlahkan potensi untuk mengekalkan persembahan yang baik.

"Lee Zii Jia mempamerkan aksi yang baik dalam kejohanan dan sesi latihan.

"Saya dapat lihat intensiti permainannya meningkat.

"Jika bukan disebabkan siri kecederaan yang dialaminya, dia sudah pasti mampu menjadi harapan buat negara di masa depan," katanya lagi.