Tiada istilah rehat buat ketua jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, selepas kegagalan Malaysia dalam Piala Thomas di Bangkok, Thailand.

Dengan kelangsungan untuk membentuk legasi baru selepas Datuk Lee Chong Wei, dia terus berharap suatu hari nanti skuad negara boleh menamatkan kemarau kejuaraan piala berprestij itu.

"Saya lihat mereka ini (pemain muda Malaysia) tidak jauh untuk mencapai prestasi sebenar. Mungkin dalam dua tahun lagi, mereka akan sampai ke tahap sebenar.

"Kalau rajin, mereka akan sampai lebih cepat lagi. Ia bergantung kepada pemain itu sendiri. Kalau tiada latihan tambahan, ia susah juga," kata Misbun.

Ditanya berapa lama lagi Malaysia harus menunggu kejuaraan Piala Thomas selepas kali terakhir menjulangnya 26 tahun lalu pada 1992, Misbun berkata Malaysia belum mampu menjuarainya dalam kejohanan dua tahun lagi.

"Perseorangan kita yang ada sekarang ini masih terlalu muda. Jika persiapan dibuat sekarang, saya jangka Piala Thomas seterusnya kita sudah hampir (menjuarainya).

"Kita harus perbetulkan dari sekarang. Dua tahun dari sekarang, kita sudah nampak bahagian perseorangan itu satu tempat untuk berpegang. Kalau nak dapatkan satu lagi, empat tahun dari sekarang. Itu maksudnya," katanya lagi.

Perjuangan Malaysia di Bangkok terhenti selepas tewas 3-1 kepada Indonesia, kelmarin.