Meskipun hasrat Datuk Lee Chong Wei untuk tampil dalam Kejohanan Seluruh England musim ini tidak kesampaian, semangatnya tetap tidak luntur dalam usaha untuk segera kembali ke gelanggang kompetitif.

Dia dilihat meneruskan program pemantapan fizikal di gimnasium Akademi Badminton Malaysia (ABAM), Bukit Kiara, hari ini.

Berdasarkan kemas kini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk saingan perseorangan lelaki Seluruh England, hanya pemain profesional, Liew Daren, layak secara merit sementara Lee Zii Jia berada dalam senarai simpanan buat skuad Malaysia.

Justeru, ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek, selepas memantau sesi latihan Chong Wei, berkata: "Dia sudah mula turun (ke gelanggang) untuk memukul bulu tangkis selama 40 minit hari ini bagi mendapatkan 'deria rasanya'.

"Saya cukup gembira dengan pergerakannya kerana dia dapat keluarkan deria rasanya dalam pukulannya.

"Setidak-tidaknya ia dapat memberi motivasi kepada pemain-pemain yang lain."