Penampilan bintang remaja, Leong Jun Hao, dalam final Masters Thailand semalam mampu mengukir senyuman ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek.

"Ia satu pencapaian yang bagus untuknya. Dia perlu faham bahawa badminton pada masa sekarang memerlukan pemain yang mempunyai kapasiti bertahan di dalam gelanggang.

"Dia mengambil peluang bermain dengan pemain senior untuk meningkatkan tahap keyakinannya," katanya.

Sementara itu, Jun Hao berkata dia mahu memanfaatkan sebaik mungkin pengalaman yang diraih dalam Masters Thailand bagi meningkatkan lagi mutu permainannya.

Pemain berusia 18 tahun itu kecundang di tangan pemain berpengalaman Indonesia, Tommy Sugiarto, 21-16, 21-15.

Juara remaja Asia 2017 itu melihat masih ada kekurangan yang perlu diatasi dalam hasratnya untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia.

"Saya jangka saya akan melakukan dengan lebih baik dalam kejohanan selepas ini. Tanpa rasa tekanan, cuma perlu bermain bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan," katanya.

Kejayaan Jun Hao sudah tentu menjadi penanda aras buat barisan perseorangan lain yang akan beraksi dalam Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, bermula esok hingga Ahad.

Antara pemain kebangsaan yang akan membuat penampilan adalah Iskandar Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lee Zii Jia, Soong Joo Ven dan Lim Chi Wing.

Mengulas mengenai kejohanan itu, Misbun berkata: "Saya rasa pemain kelompok 10 terbaik sudah turun. Jadi, ia satu kesempatan yang harus diambil.

"Kita tidak boleh menjangkakan keputusan baik dalam kejohanan besar seperti ini tetapi saranan saya buatlah yang terbaik, cabar lawan dan gunakan sepenuhnya apa yang dipelajari dalam latihan," ujarnya.

Sementara itu, motivasi jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, bagi memburu kejuaraan menjadi tanda tanya susulan hasratnya untuk berehat daripada aksi kompetitif buat seketika.

"Dia nampak ceria dalam latihan, itu yang penting. Apabila dia gembira, maksudnya dia sedang bersiap.

"Walaupun dia mahu berehat panjang, kadang-kadang dalam kejohanan penting seperti ini, selaku pemain, dia harus bersedia," tambah jurulatih itu.