Ketua jurulatih skuad perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, tidak menafikan dirinya dilanda kesedihan susulan persaraan anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei, daripada arena badminton.

Nama Misbun sentiasa mengiringi perbualan membabitkan Chong Wei sebagai mentor yang menjulang anak buahnya itu ke persada dunia.

Sudah pelbagai jatuh bangun yang mendefinisikan pengembaraan dua individu itu sebagai gandingan terbaik badminton Malaysia tetapi perutusan persaraan Chong Wei yang dibincangkan secara peribadi di antara mereka sebelum pengumuman dilakukan semalam diibaratkan sebagai tamparan emosi buat jurulatih berusia 59 tahun itu.

"Saya beritahu dia, 'Chong Wei, tanpa awak, siapalah saya'. Dia anggap saya seperti bapanya. Jadi, apabila dia memberitahu hasrat untuk bersara, saya sudah menjangkakannya. Kami berbual hampir 20 minit, dari hati ke hati. Situasi itu sangat emosional," katanya.

Tatkala Chong Wei sudah boleh menikmati hasil keringat selepas 19 tahun membawa nama Malaysia di pentas kompetitif, Misbun kini memikul tanggungjawab berat untuk menjadikan pemain seperti Lee Zii Jia sehebat legenda itu.

Dalam masa sama, Misbun juga mengakui tugas melatih Chong Wei suatu masa dahulu adalah salah satu penghormatan terbesar buatnya.

"Sepanjang saya melatihnya, saya seronok kerana dia seorang pemain yang jarang cakap tidak. Dia hanya ikut sahaja. Saya hanya minta tenaga dan masanya, jadi dia sentiasa memberinya. Dia membuatkan saya mahu datang lebih awal untuk melatih dan membantunya.

"Saya juga sukakan sikap cemburu untuk membina dalam dirinya. Dia tidak boleh lihat jika saya terlalu lama dengan seorang pemain lain. Dia akan masuk untuk merebut slot tersebut. Kadangkala, dia hadir awal untuk mendapatkan tempat ini. Dia sentiasa mahu memenangi hati saya. Pemain seperti ini memang sukar didapati."