Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, tidak berasakan anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei, ada keinginan untuk terjun ke bidang kejurulatihan sekiranya pemain itu berhasrat mengundurkan diri dalam masa terdekat.

Biarpun memiliki reputasi sebagai antara pemain terulung dunia, ia bukan jaminan buatnya untuk meneruskan legasi sama apabila bergelar jurulatih.

Cabaran terbesar pemain itu seandainya dia menjadi jurulatih adalah melahirkan klon yang berupaya memenangi gelaran dunia mahupun pingat emas Sukan Olimpik.

Ketika ini, masih belum ada perkhabaran rasmi daripada bekas pemain nombor satu dunia itu, sama ada akan meneruskan karier sebagai pemain atau bersara ekoran faktor kecergasannya yang masih dihantui serangan kanser hidung, tahun lalu.

"Dia akan melihat kemampuan dirinya sendiri tentang bagaimana mahu membentuk pemain.

"Bagi saya, kalau dia ingin menjadi jurulatih dalam masa terdekat ini, belum tentu.

"Keinginannya untuk bermain dan menggalas misi negara masih ada," kata Misbun.

Dalam masa sama, Misbun turut menetapkan sasaran tinggi buat barisan pemainnya, iaitu menjuarai Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia di Perak, 18 Jun ini.

Tiada kelibat Lee Zii Jia, sebaliknya Soong Joo Ven yang kembali mendapat rentak apabila mara hingga ke peringkat suku akhir dalam Terbuka Australia minggu lalu, menjadi sandaran Misbun.

"Pemain-pemain muda perlu memperlihatkan kemajuan dalam pertandingan.

"Walaupun ia kejohanan kecil, saya mahu mereka sedar bahawa kemajuan dalam latihan itu sangat penting," katanya.