Penyingkiran pusingan pertama Datuk Lee Chong Wei dalam Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland kekal sebagai kejutan paling besar tahun ini.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, tampil dengan pandangan apa yang sebenarnya terjadi pada 22 Ogos lalu.

Sepanjang 10 penampilan Chong Wei dalam Kejohanan Dunia, Glasgow adalah paling mengecewakan.

Chong Wei tewas dalam pertembungan tiga set kepada perseorangan Perancis, Brice Leverdez.

Ini perspektif Misbun yang kali pertama mengiringi Chong Wei ke kejohanan kompetitif sejak kembali berkhidmat di bawah program kebangsaan, Julai lalu.

"Ini adalah pertandingan yang pertama saya ikut dia (Chong Wei). Ada sedikit kekeliruan berhubung penerimaan petua, sebab itu dia nampak sedikit kosong.

"Apabila dia mahu memulihkan situasi, ia tidak dapat ditukar dengan cepat dan ketika Chong Wei dilihat keliru, lawannya memberi asakan sampai tamat," katanya.

Satu perkembangan positif ialah Chong Wei tidak lagi memikirkan persaraan, dengan Misbun mahu anak buahnya itu tidak beraksi di bawah belenggu faktor usia.

Dan dia akan terus berikhtiar untuk mengembalikan faktor gerun daripada kalangan lawan yang terpaksa berentap dengan Chong Wei untuk kempen besar pada 2018.

"Ketika Chong Wei dalam prestasi terbaik, dia mempunyai senjata yang sangat bahaya dan ditakuti pihak lawan.

"Dia juga harus faham, badminton adalah permainan fizikal. Melalui permainan fizikal itu barulah boleh dimasukkan elemen yang sepatutnya dia belajar," tambah Misbun.