Pemain badminton beregu wanita negara, Lee Meng Yean, menyasarkan untuk berada dalam kelompok pasangan 10 terbaik dunia bersama Chow Mei Kuan selepas kembali digandingkan pada awal tahun lalu.

Pemain kelahiran Melaka itu berhasrat melonjakkan dirinya dalam kelompok 10 terbaik dunia sambil menetapkan status beregu nombor satu negara sebagai sasaran utama.

Dia dan Mei Kuan, yang kini berada di tangga ke-27 dunia, serius untuk mempertingkatkan prestasi selepas pencapaian terbaik yang diraih setakat ini sekadar ke separuh akhir Grand Prix Emas Terbuka Macau, tahun lalu.

"Saya menyasarkan kelompok 10 terbaik dunia dan berharap ia dapat dicapai pada tahun depan,” ujarnya.

Meng Yean, yang pernah beraksi dalam acara beregu campuran, berharap gandingannya bersama Mei Kuan akan terus dikekalkan dan dalam masa sama, dia mengakui lebih selesa beraksi dalam acara beregu wanita berbanding beregu campuran.

"Saya tidak berdepan apa-apa masalah bergandingan dengan Mei Kuan kerana kami sudah mula mendapat persefahaman. Jika ada sebarang perkara, kami akan berbincang," katanya.

Ujian pertama buat pasangan itu selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 adalah Kejohanan Siri Super di Jepun yang bakal bermula Selasa depan.