Walaupun masih belum dapat menutup mulut pengkritik, kejayaan Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean memenangi gelaran Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bertaraf 300 membuktikan mereka relevan sebagai beregu wanita nombor satu negara.

Prestasi tidak menentu Mei Kuan dan Meng Yean serta beregu wanita lain sepanjang 2018 membangkitkan rasa gusar pelbagai pihak.

Namun, kejayaan merampas kejuaraan dalam Kejohanan Antrabangsa Syed Modi di Lucknow, India, semalam membuktikan potensi yang dimiliki mereka.

Ini merupakan kejayaan kedua dalam tempoh singkat buat skuad beregu wanita selepas pasangan yang baru digandingkan, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, memenangi Terbuka Macau yang juga bertaraf 300, awal bulan ini.

"Walaupun dengan gandingan baru dan perjalanan yang masih jauh, kami masih menyasarkan untuk layak dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan menyasarkan pingat dalam temasya itu.

"Apapun, masih banyak yang perlu diperbaiki bagi merealisasikan impian itu," kata ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak.

Di Lucknow, Meng Yean-Mei Kuan tidak dicabar dalam aksi final meskipun berdepan wakil tuan rumah dan pilihan keempat, P. Ashwini-N. Sikki Reddy.

Hanya 42 minit diperlukan untuk pasangan itu menang 21-15, 21-13.

"Mereka bermain seperti yang dirancang.

"Sentiasa menyerang untuk mendapatkan mata.

"Perancangan itu jelas manjadi untuk mereka meraih kejuaraan tersebut," tambahnya.