Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, mengekalkan rentak cemerlang dalam Kejohanan Masters Malaysia 2019 dengan menewaskan pemain Jepun, Kenta Nishimoto, dalam aksi pusingan kedua di Arena Axiata, Bukit Jalil, petang tadi.

Zii Jia, yang memulakan kejohanan dengan menempuhi pusingan kelayakan, Isnin lalu, menampilkan persembahan konsisten untuk menundukkan Nishimoto 21-15, 21-17 dalam masa 38 minit.

Mengulas mengenai aksi cemerlangnya itu, Zii Jia mendedahkan dia hanya berbincang dengan ketua jurulatih negara, Datuk Misbun Sidek, hanya dua jam sebelum memasuki gelanggang.

“Selepas mengetahui akan berjumpa Kento, saya dan jurulatih (Misbun) tidak mahu memperbincangkannya dengan lebih banyak kerana tidak mahu fokus saya terganggu menjelang perlawanan itu.

"Dua jam sebelum ke sini, barulah kami berbincang mengenai strategi perlawanan," katanya.

Zii Jia akan bertemu sama ada juara dunia 2017, Viktor Axelsen, atau seorang lagi wakil Denmark, Hans-Kristian Vittinghus, di peringkat suku akhir esok.

Baginya, jika diberi pilihan, dia lebih teruja untuk berdepan Axelsen yang merupakan antara idolanya dalam dunia badminton.

“Dia (Axelsen) merupakan idola saya dan saya berharap untuk bertemunya memandangkan kami tidak pernah bertemu sebelum ini.

"Saya meminati corak permainannya dan gemar meniru gaya yang dipamerkannya," tambahnya.

Sebelum ini, Zii Jia yang menduduki ranking ke-42 dunia, menyatakan hasratnya untuk berdepan pemain nombor satu dunia, Kento Momota, namun impian itu lebur selepas Momota tewas seawal pusingan pertama di tangan Nishimoto, semalam.

-- BERNAMA