Pemain badminton yang sedang meningkat naik, Lee Zii Jia, kini menggalas tugas berat sebagai satu-satunya wakil tunggal daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang akan berentap dalam acara perseorangan lelaki Masters Malaysia 2019 yang bermula esok.

Hanya ada tiga wakil Malaysia yang beraksi dalam perseorangan lelaki kejohanan itu, termasuk dua pemain profesional, Liew Darren dan Chong Wei Feng, tatkala Zii Jia memegang tanggungjawab besar daripada BAM.

Lebih perit, dia terpaksa melalui peringkat kelayakan terlebih dahulu menentang pemain ranking ke-56 dunia dari China, Zhou Zeqi, serta satu lagi perlawanan untuk masuk ke undian pusingan 32.

Azamnya cuma satu, tidak kalah awal kerana sedar ia bakal menghampakan peminat di laman sendiri.

"Ini pertama kali saya beraksi dalam peringkat kelayakan untuk kejohanan ini. Bagi saya, ia memang sukar. Jika menang, ada aksi kedua untuk kelayakan. Saya mempersiapkan diri dan melakukan yang terbaik," kata Zii Jia.

Jika tidak kerana kegopohannya ketika menentang Brice Leverdez dalam suku akhir Masters Thailand minggu lalu, Zii Jia mungkin mampu melangkah ke final kerana dia yakin boleh menewaskan lawan dari Singapura, Loh Kean Yew, yang bergelar juara selepas menundukkan Lin Dan dari China dalam final.

"Saya fikir tentang itu kerana jauh mendahului dalam set kedua. Mungkin kalau menang, ia berbeza. Namun, bagi saya, fokus perlu diberikan dan tidak boleh terlalu memikirkan kejohanan itu. Hanya mempersiapkan diri untuk aksi seterusnya."