Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, mengidamkan pertemuan dengan pilihan utama Masters Malaysia 2019, Kento Momota, bagi memadam tanggapan umum yang meramalkannya bakal tersingkir awal.

Zii Jia, yang melepasi peringkat kelayakan yang membabitkan dua perlawanan hari ini, akan bertemu lawan dari Thailand, Tannongsak Saensomboonsuk, dalam pusingan pertama esok.

Bagaimanapun, motivasinya kini adalah mahu berentap dengan Momota dalam perlawanan pusingan kedua.

Kali terakhir kedua-dua pemain itu bertemu adalah dalam separuh akhir Terbuka Republik Czech dua tahun lalu di mana Zii Jia tewas 21-8, 21-10 kepada Momota.

"Ia sesuatu yang bagus andai saya berpeluang bertemu dengannya.

"Saya mahu meraih pengalaman berdepan pemain nombor satu dunia itu," katanya.

Jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, menyifatkan setiap jaguh handalan pasti mempunyai kelemahan dan berharap Zii Jia mampu memanfaatkan situasi itu ketika berentap di gelanggang.

"Dia tidak mempunyai apa-apa untuk dirugikan andai berdepan Momota.

"Dia perlu memanfaatkan sepenuhnya kesempatan itu.

"Ia masa yang sesuai untuk dia menyedari tahap sebenar permainannya," katanya.

Sementara itu, perseorangan lelaki profesional negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, tidak menyangka dapat menyertai saingan edisi ini bagi menggantikan perseorangan India, Ajay Jayaram, yang menarik diri pada saat-saat akhir.

Dia mendapat perkhabaran itu menerusi panggilan daripada wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM), lewat malam tadi.

Setelah berbincang dengan jurulatihnya, Ismail Saman, Iskandar bersetuju untuk menyertai kejohanan itu.

"Saya amat terkejut.

"Selepas menamatkan sesi latihan malam tadi, saya mendapat panggilan daripada pihak BAM yang menawarkan saya untuk beraksi hari ini.

"Saya membuat keputusan untuk menyertai kejohanan ini," katanya.

Iskandar, yang beraksi dalam pusingan kelayakan, memenangi pertemuan dengan pemain Indonesia, Aura Chico Dwi Wardoyo, 21-19, 21-19, namun tumpas kepada pemain Thailand, Tannongsak, sekali gus dinafikan peluang ke pusingan pertama undian sebenar.