Pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, tidak perlu kecewa, sebaliknya menjadikan kekalahan kepada pemain beregu lelaki nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, dalam final Masters Malaysia 2019 di Arena Axiata hari ini sebagai permulaan bagi mencari lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Biarpun Yew Sin-Ee Yi mendapat sorakan padu daripada penyokong tempatan, Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya nyata terlalu handal untuk gandingan negara meskipun mereka telah memberikan tentangan hebat.

Yew Sin-Ee Yi tewas straight set 15-21 16-21 kepada Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya dalam masa 36 minit. Kekalahan wakil tunggal negara itu sekali gus menutup harapan peminat untuk melihat mereka muncul juara dalam Masters Malaysia kali ini.

Ditemui selepas perlawanan, Ee Yi berkata, “Permainan kami hari ini bukan berada pada tahap sebenar. Kami akui mereka memiliki pengalaman dan kualiti yang lebih daripada kami. Kami tahu kelemahan kami dan akan memperbaikinya untuk terus meningkat.”

“Selepas kejohanan, kami dapat rasa yang kami juga berada di dalam kelas tersendiri serta tidak jauh bezanya dengan pemain terbaik dunia yang lain. Perlu bekerja keras lagi dan saya rasa kami juga boleh menyerlah,” kata Ee Yi.

Bagi Yew Sin pula, kejayaan mara hingga ke pentas final tetap memberikan petanda positif buat mereka berdua.

Yew Sin berkata, “Keyakinan kami memang sudah meningkat. Kejohanan ini juga sudah habis dan kami akan bersedia untuk saingan yang seterusnya dalam Masters Indonesia.”

Mengulas prestasi beregu lelaki negara, ketua jurulatih, Paulus Firman, berkata, “Saya gembira dengan beregu lelaki kerana salah satu (Aaron Chia-Soh Wooi Yik) juga berjaya mara hingga ke separuh akhir sebelum tewas kepada rakan sendiri. Dalam final, pemain kalah namun secara keseluruhan saya masih gembira, cuma perlu memperbaiki lagi kelemahan yang ada.”

“Kita boleh nampak lawan mempunyai keistimewaan tersendiri. Mereka memiliki kecerdikan serta kekuatan mental, itulah kelebihan Gideon dan Kevin. Itu membezakan mereka dengan beregu lelaki lain.

“Apapun, saya percaya kita boleh melatih pemain yang kita ada untuk memaksimumkan kebolehan mereka. Keistimewaan kadangkala hadir dalam diri pemain secara semulajadi dan kita juga boleh membentuknya, cuma perlukan sedikit masa,” tambahnya.

Dalam acara perseorangan lelaki, Korea Selatan bergelar juara selepas pemainnya, Son Wan Ho, mencipta kejutan dengan mengatasi pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Chen Long dari China, 21-17, 21-19.

Jepun pula pulang bergaya dengan dua daripada wakil mereka muncul juara. Yuki Fukushima-Sayaka Hirota juara dalam acara beregu wanita apabila bangkit menewaskan gandingan Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia, 18-21, 21-16, 21-16.

Satu lagi pasangan dari Negara Matahari Terbit, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, muncul juara beregu campuran selepas mengalahkan wakil Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 21-18, 21-18.

Juara bertahan dalam acara perseorangan wanita, Ratchanok Intanon dari Thailand, pula terus menguasai saingan. Dia bergaya merangkul kejuaraan buat kali kedua dalam Masters Malaysia selepas menang ke atas pemain Sepanyol, Carolina Marin, 21-9, 22-20.

Berstatus Jelajah Dunia BWF Super 500, Masters Malaysia 2019 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak ASD350,000.