Hari gemilang wakil negara dalam Masters Malaysia diteruskan pasangan beregu lelaki profesional, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, yang mara apabila menewaskan pilihan ketiga kejohanan dari Jepun, Hiroyuki Endo dan Yuta Watanabe, dalam aksi straight set hari ini.

Set pertama menyaksikan V Shem-Wee Kiong mencatatkan kemenangan 22-20 dan seterusnya dalam set kedua, mereka unggul menoktahkan kejayaan 21-15, sekali gus menempah tiket ke separuh akhir berdepan pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia esok.

"Kami sentiasa cuba untuk kembali ke tahap terbaik tetapi kami mahu memastikan persembahan yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya," kata Wee Kiong.

Seterusnya, giliran pasangan muda meningkat naik, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, kembali membuat perhitungan dengan pasangan Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen.

Mereka sekali lagi menumbangkan pasangan Denmark itu 21-17, 21-19, mengulangi kejayaan ketika pertemuan dalam Kejohanan Dunia tahun lalu.

"Melangkah ke separuh akhir amat menggembirakan dan kami akan cuba melakukan untuk meraih kemenangan dalam perlawanan seterusnya, sekali gus ke final," kata Aaron.