Setelah mengungguli saingan Masters Thailand semalam, harapan menggunung diletakkan kepada pasangan badminton profesional negara, Chang Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong, untuk mengekalkan formula sama bagi menjulang kejayaan di laman sendiri menjelang Masters Malaysia bermula esok.

Ia seakan-akan memberi isyarat buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bahawa keempat-empat pemain itu masih yang terbaik dimiliki negara biarpun tidak lagi bernaung di bawah badan induk itu.

Paling mengejutkan, V Shem dan Wee Kiong, yang dibelenggu masalah prestasi dan kemarau kejuaraan selama dua tahun, kembali menunjukkan kewibawaan di bumi Thailand.

Wee Kiong mendedahkan mereka kini lebih bebas dan tidak lagi terikat dengan mana-mana arahan serta tekanan yang menghantui dia dan pasangannya.

"Bukan ingin katakan tiada sasaran yang perlu dicapai. Kami pergi ke pertandingan, kami mahu menang dan bagi kami, ia tetap sama. Mungkin kami bernasib baik, sudah keluar baru meraih kejuaraan," kata Wee Kiong.

Sementara itu, Peng Soon mengakui cabaran untuk meneruskan momentum dua kejuaraan berturut-turut agak sukar, namun jika mereka berjaya melepasi suku akhir, impian itu mungkin boleh dicapai.

"Apa yang penting adalah suku akhir sebagai sasaran pertama. Lepas itu baru fikirkan peringkat lain. Jika melihat sasaran, kami ingin ke suku akhir dulu," ujarnya.

Dalam masa sama, jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang, melihat bekas anak didiknya, Peng Soon dan Liu Ying, semakin matang sehingga membolehkan mereka beraksi tanpa sebarang tekanan biarpun tidak mendapat sebarang bantuan kejurulatihan.

Pasangan itu saling dilihat berganding bahu bersama V Shem dan Wee Kiong dalam membantu satu sama lain daripada aspek memberikan pandangan dari luar gelanggang sekiranya ada antara mereka yang beraksi.

"Tidak kira sama ada anda berada dalam persatuan atau tidak, itu yang saya lihat. Bukan sahaja menerusi Liu Ying dan Peng Soon tetapi Wee Kiong serta V Shem turut sama. Mereka tampak lebih bebas dan lebih bersatu. Itu yang buat mereka menang," kata Cheh Chang.

"Jadi, perkara ini boleh dilihat daripada sudut yang lain. Mungkin pemain muda boleh belajar."