Pemain nombor lima dunia, Son Wan Ho, terpaksa berhempas-pulas sebelum menjuarai gelaran perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2019 selepas menumpaskan pemain China, Chen Long, di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

Pemain Korea Selatan itu mengambil masa kira-kira sejam sebelum menewaskan Chen Long yang menduduki ranking keempat dunia, dengan ‘straight set’ 21-17, 21-19.

“Pertemuan menentang Chen Long sentiasa sengit. Saya sangat gembira untuk menang hari ini dan muncul juara.

"Persekitaran di gelanggang ini sedikit mengelirukan. Saya hanya beraksi dengan corak permainan saya dan berharap dapat bermain dengan baik dalam kejohanan akan datang,” katanya selepas perlawanan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei.

Sementara itu, pemain Thailand, Ratchanok Intanon, mempertahankan gelaran kategori perseorangan wanita apabila mengalahkan juara dunia, Carolina Marin dari Sepanyol, 21-9, 22-20.

“Saya beraksi seperti biasa hari ini. Menjuarai gelaran ini kali ini memberi inspirasi kepada saya menjadi pemain lebih baik pada masa akan datang. Tahun ini amat penting kepada kesemua pemain untuk layak beraksi dalam Sukan Olimpik 2020.

“Saya perlu meraih keputusan yang baik dalam setiap kejohanan, itu fokus saya,” katanya.

Dalam pada itu, beregu nombor satu dunia, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun, menjuarai kategori beregu wanita selepas menumbangkan pasangan nombor empat dunia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia, 18-21, 21-16, 21-16.

Satu lagi pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino memenangi gelaran beregu campuran selepas mengatasi gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanchai, 21-18, 21-18.

-- BERNAMA