Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, menampilkan semangat juang tinggi walaupun terpaksa bergelut sebelum mara ke pusingan kedua Masters Malaysia 2019 di Arena Axiata, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Dalam perlawanan pusingan pertama itu, Vivian-Cheng Wen dikejutkan gandingan Thailand, Chayanit Chaladchalam-Phataimas Muenwong, apabila tewas set pertama 12-21.

Bagaimanapun, beregu negara itu bangkit dalam dua set berikutnya untuk meraih kemenangan 21-12, 12-18.

Bagi Vivian, walaupun menyedari statusnya sebagai pemain berpengalaman dalam kem badminton negara, namun beraksi dengan gandingan baru itu memaksanya bermula dari bawah kembali.

"Ia perlawanan yang sangat sukar.

"Kami menyedari akan berdepan saingan sengit sebelum perlawanan bermula kerana kami pernah tewas kepada mereka sebelum ini.

"Kemenangan kali ini benar-benar memuaskan kami.

"Walaupun saya lebih berpengalaman daripada Cheng Wen, namun setiap perlawanan adalah permulaan baru kerana kami adalah gandingan baru.

"Masih banyak yang boleh dipertingkatkan dan diperbaiki," katanya.

Vivian, 29, menyifatkan gandingan bersama Cheng Wen masih memerlukan masa untuk mendapatkan keserasian setelah pasangan asalnya, Woon Khe Wei, kini berehat akibat kecederaan.

"Saya akui masih banyak yang perlu diperbaiki.

"Kami masih baru digandingkan dan perbezaan umur juga menjadi cabaran buat saya.

"Adakalanya kami salah faham juga.

"Mungkin Cheng Wen terlalu menghormati saya," tambahnya.

Vivian menjelaskan tiada masalah besar mengenai gandingannya dengan Cheng Wen, 24, kerana sasaran utama mereka untuk berada dalam kelompok 32 terbaik dunia sudah tercapai selepas digandingkan pada September tahun lalu.

"Jadual tahun ini lebih padat.

"Sasaran saya kini adalah untuk berada dalam kelompok 16 terbaik dunia.

"Saya berharap dalam beberapa kejohanan lain selepas ini, komunikasi di antara kami akan menjadi lebih baik dan mampu mempamerkan saingan yang lebih hebat," katanya.

Vivian-Cheng Wen akan bertemu beregu daripada pusingan kelayakan, Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto dari Indonesia esok.

Terdahulu, beregu wanita utama negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, mudah disingkirkan beregu dari Jepun, Ayaka Sakuramoto-Yukiko Takahata, 8-21, 14-21.

-- BERNAMA