Tiga wakil beregu negara mara ke pusingan kedua selepas menundukkan lawan masing masing dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini.

Ia bermula dengan gandingan beregu wanita nombor satu negara, Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei, yang bijak mengatur strategi untuk menumbangkan pasangan Taiwan, Lin Xiao Min-Wu Fang Chien, 21-18, 21-17.

Seterusnya, giliran beregu lelaki, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, pula beradu tenaga dengan pilihan ketujuh kejohanan dari Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sosonov.

V Shem dan Wee Kiong unggul 22-20, 22-20.

Melengkapkan kejayaan adalah pasangan beregu lelaki, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin, apabila mudah menewaskan gandingan Malaysia/Korea Selatan, Lim Khim Wah dan Yoo Yeon-seong, 21-15, 21-18.