Masters Malaysia: Sikap terlalu nak menang makan diri Jin Wei

Oleh Staff Writer 19 Januari 2019 2918
Masters Malaysia: Sikap terlalu nak menang makan diri Jin Wei
Aksi gopoh perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, memakan diri apabila akhirnya tersungkur dalam separuh akhir Masters Malaysia 2019 kepada pemain pilihan keenam dari Thailand, Ratchanok Intanon, 16-21, 16-21 di Arena Axiata hari ini.

Ia merupakan kekalahan kedua Jin Wei di tangan pemain ranking kelapan dunia itu dalam kejohanan sama selepas mengalami nasib serupa tahun lalu. 

Dia tidak menolak sikap yang terlalu dahagakan kemenangan menyebabkan aksinya tidak konsisten sehingga hilang fokus seawal set pertama untuk bekas juara dunia itu mendominasi gelanggang. 

Walaupun Jin Wei cuba untuk mengintai peluang mengejar mata ketika set kedua, namun ketangkasan Ratchanok tidak mampu diatasi juara remaja dunia 2018 tersebut, sekali gus dinafikan hasrat ke final. 

"Saya rasa peluang itu ada dalam set kedua tetapi saya terlalu bernafsu sehingga melakukan perkara yang tidak patut," kata Jin Wei.

Walaupun tewas, Jin Wei menganggap perlawanan separuh akhir itu memberi pengajaran berguna untuk dia lebih matang berdepan pemain tumpuan dunia selain menyifatkan aksinya dalam suku akhir berdepan He Bingjao dari China adalah yang terbaik sepanjang kejohanan ini

"Semalam adalah aksi terbaik. Saya sangat fokus. 

"Aksi ini mengajar saya untuk pulang dan melakukan perubahan demi kebaikan di masa akan datang."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen