Biarpun terpaksa mengharungi dua perlawanan dalam tempoh sehari dalam pusingan kelayakan Masters Malaysia harini, namun semangat tidak mahu mengalah membolehkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin melayakkan diri ke pusingan utama kejohanan ini.

Dalam aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil itu, Iskandar terpaksa bermain rubber set sebanyak dua kali, iaitu dengan menewaskan pemain Perancis, Lucas Corvee, 21-16, 18-21, 21-17 dalam kelayakan pertama.

Selepas itu, dalam satu lagi perlawanan, dia bangkit untuk menang 15-21, 21-15, 21-8 ke atas pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito, untuk layak.

Mengulas prestasinya, Iskandar berkata: “Saya terlalu fikir mengenai kepenatan kerana jadual kelayakan yang agak padat. Jadi, bila rasa lemah, jurulatih ada beri motivasi. Saya pun terus memberikan aksi melawan dan lawan. Jadi, bagi saya, taktikal agak menjadi tadi.

“Ketika lawan mendahului 13-5 pada set kedua, saya rasa mustahil untuk menang. Apapun, saya tidak kelam-kabut dan cuba melakukan sedaya-upaya. Kekuatan saya adalah pertahanan dan bila lawan gagal untuk menyerang mendapatkan mata, ia memberi kelebihan kepada saya," tambahnya.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, berkata: “Kalau ikut saya, boleh berpuas hati untuk dua perlawanan pusingan kelayakan ini. Bukan senang nak lepasi pusingan ini memandangkan ia rapat (berlangsung dalam waktu yang singkat).

"Perlawanan pertama tadi pun sengit, sengitnya daripada perasaan, daripada perlawanan dan sebagainya. Keunggulan mereka (Iskandar dan Soong Joo Ven) belum kelihatan lagi tetapi melalui keseluruhan permainan, apa yang dia dapat adalah mengawal tekanan daripada lawan untuk layak ke pusingan utama.

“Jadi apa yang puas hatinya di sini adalah mereka berjuang habis-habisan. Seperti Iskandar tadi, walaupun dia keletihan tetapi tetap memberikan tentangan. Itu yang kita nak tengok kerana apabila ada memberi tentangan seperti itu, senang untuk kita membentuknya berbanding sekiranya dia tiada semangat untuk berjuang.

“Saya ada pesan kepadanya semasa ketinggalan pada set kedua, kenapa perlu lepas (mengalah) walaupun dah penat-penat menjalani latihan. Tiada tidak apa yang merugikan, yang penting perlu ada, berjuang habis-habisan sampai ke akhir perlawanan. Sebab itu, dia mula bercakap pada diri sendiri dan kejar satu demi satu,” tambah Misbun lagi.

Dalam acara perseorangan lelaki, Soong Joo Ven dan Liew Daren turut melepasi pusingan kelayakan dan mengesahkan tempat dalam kejohanan itu.

Pemain perseorangan wanita yang layak adalah pemain muda negara, Lee Ying Ying, yang mengatasi pemain Indonesia, Lyanny Alessandra Mainaky, 17-21, 22-20, 21-14.

Seorang lagi pemain wanita negara, Lim Yin Fun, turut layak selepas menang 21-19 21-17 ke atas Yulia Yosephin Susanto dari Indonesia.

Kategori beregu lelaki pula menyaksikan gandingan Aaron Chia- Soh Wooi Yik juga berjaya melepasi pusingan kelayakan.

Sementara itu, dalam kategori beregu wanita pula, dua pasangan negara, iaitu Goh Yea Ching-Teoh Mei Xing dan Lim Chiew Sin-Yap Zhen juga mara selepas menang ke atas lawan masing-masing.

Saingan beregu campuran menyaksikan Chen Tang Jie-Cheah Yee See bangkit untuk mara setelah mengalahkan gandingan Indonesia, Riky Wadianto-Masita Mahmudin, 16-21, 21-14, 21-15.

Kejohanan bertaraf Siri Super ini bakal berlangsung sengit dengan penyertaan pemain hadalan dunia seperti Datuk Lee Chong Wei, Viktor Axelsen, Lin Dan dan Chen Long.

Keputusan hari ini:

Perseorangan Lelaki

Perlawanan pertama
Iskandar Zulkarnain (MAS) mn Lucas Corvee (FRA) 21-6, 18-21, 21-17
Thomas Rouxel (FRA) mn Lim Chi Wing (MAS) 20-22, 13-21
Soong Joo Ven (MAS) mn Fikri Ihsandi Hadmadi (INA) 21-10, 23-23 Retired
Liew Daren (MAS) kalahkan Cheam June Wei (MAS) 21-18, 21-19

Perlawanan kedua

Soong Joo Ven (MAS) mn Sony Dwi Kuncoro (INA) 21-19, 21-10
Iskandar Zulkarnain (MAS) mn Hiren Rhustavito (INA) 15-21, 21-15, 21-8
Liew Daren (MAS) mn Kim Bruun (DEN) 21-16, 13-21, 21-7

Beregu Lelaki

Aaron Chia- Soh Wooi Yik (MAS) mn Shia Chun Kang-Tan Wee Gieen (MAS) 17-21, 21-15, 21-19
Lim Khim Wah LIM (MAS)-Yoo Yeon Seong (KOR) mn Muhammad Fachrikar Adma Parlindungan Man-Reza Dwicahya Purnama (INA) 21-14 21-14

Perseorangan wanita

Lim Yin Fun (MAS) mn Yulia Yosephin Susanto (INA) 21-19, 21-17
Delphine Lansac (FRA) mn Ho Yen Mei (MAS) 21-17, 8-21, 21-18
Lee Ying Ying (MAS) mn Lyanny Alessandra Mainaky (INA) 17-21, 22-20, 21-14

Beregu wanita

Goh Yea Ching-Teoh Mei Xing (MAS) mn Cynthia Shara Ayunidha-Ganis Nur Rahmadani (INA) 21-7 15-6 Retired
Yap Zhen-Lim Chiew Sien (MAS) mn Prajakta Sawant-Sanyogita-Ghorpade (IND) 22-20 21-18
Zarra Faza Azka-Brigita Marcelia Rumambi (INA) mn Lim Jee Lynn-Tan Sueh Jeou (MAS) (Walkover)

Beregu campuran

Chen Tang Jie-Cheah Yee See (MAS) mn Riky Widianto-Masita Mahmudin (INA) 16-21 21-14 21-15
Ricky Karandasuwardi-Debby Susanto (INA) mn Hoo Pang Ron- Peck Yen Wei (MAS) 21-14 21-15

Zhang Nan-Liu Xuanxuan (CHN) mn Mohamad Arif Abdul Latif (MAS)-Rusydina Antardayu Riodingin (INA) 21-16 21-9