Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, menganggap Kejohanan Malaysia Masters (PMM) 2019 pada 15-20 Januari ini adalah pentas terbaik buat dirinya serta pemain muda lain membuktikan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bahawa mereka kini sudah bersedia untuk menggalas cabaran baru.

Dengan beberapa pemain senior yang kini sudah meninggalkan badan induk badminton negara itu, Zii Jia berpendapat ia harus dipandang daripada sudut positif, terutama oleh pemain muda.

Zii Jia, yang ditemui semasa saingan Purple League minggu lalu, berkata, “Memang kalau kita tengok kebanyakan pemain dalam BAM kini adalah pemain muda.

“Saya harap pemain-pemain muda dalam BAM bukan saya seorang tetapi semua pemain muda lain tidak menjadikan ia sebagai beban tapi menganggap ia sebagai satu tanggungjawab untuk membuktikan generasi kita mampu mengambil alih tugas ini,”kata pemain berasal Alor Setar itu.

Tambah Zii Jia, kehadiran semula Datuk Lee Chong Wei untuk menjalani latihan juga memberi sumber inspirasi buat kem badminton negara.

“Saya rasa satu semangat untuk pemain perseorangan lelaki dan BAM dengan kembalinya Datuk Lee Chong Wei menjalani latihan bersama kami kerana dia ialah pemain yang mampu memimpin kami,” ujarnya.

Mengenai sasarannya dalam Masters Malaysia 2019, pemain berusia 21 tahun itu berkata, “Sasaran saya mestilah kalau boleh nak pergi sejauh yang mungkin dalam Masters Malaysia kali ini. Saya akan mula bermain sejak pusingan kelayakan. Bukan senang juga kerana kelompok 40 pemain terbaik dunia akan bersaing kali ini.

“Kalau boleh saya mahu sampai hingga ke separuh akhir ataupun final kerana saya akan beraksi di hadapan penyokong sendiri. Namun, saya tidak mahu terlalu memikirkannya agar tidak berasa tertekan,” kata Zii Jia.

Pemain itu juga mahu memanfaatkan kejohanan sebelum April ini bagi memperbaiki rankingnya untuk berada dalam kelompok 32 pemain terbaik dunia kerana mahu beraksi dalam Jelajah Dunia BWF 750 atau 1000 bagi mendapatkan pengalaman serta pendedahan beraksi dengan pemain ranking atasan dunia.

Dalam Masters Thailand baru-baru ini, Zii Jia menamatkan saingan di peringkat suku akhir apabila tumpas kepada pemain dari Perancis, Brice Leverdez, 11-21, 19-21.

Mengikut jadual pusingan kelayakan Masters Malaysia, Zii Jia akan turun berdepan pemain dari China, Zhou Zeqi, dan menantinya selepas itu adalah sama ada pemain Thailand, Sitthikom Thammasin atau seorang lagi pemain China, Zhao Junpeng.