Kehadiran bekas beregu lelaki nombor satu dunia, Chew Choon Eng, bersama pasangan profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, dalam Kejohanan Masters Malaysia yang sedang berlangsung, menimbulkan tanda tanya adakah dia akan dipilih menjadi jurulatih tetap pasangan itu.

Choon Eng berada di bangku jurulatih ketika Peng Soon-Liu Ying menewaskan gandingan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, 21-13, 21-14 dalam pusingan pertama di Arena Axiata, hari ini.

Ketika ditemui pemberita, Liu Ying berkata kehadiran Choon Eng adalah untuk membantu mereka yang kini terpaksa beraksi tanpa jurulatih selepas mengambil keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bulan lalu.

“Kami sebenarnya kelam-kabut mencari jurulatih sejak sebelum bermula Masters Thailand lagi dan kali ini kami minta tolong dia (Choon Eng) sahaja. Kami berharap dapat melantik jurulatih tetap kalau boleh dapatkan penaja,” jelasnya.

Antara pencapaian tertinggi Choon Eng yang bergandingan dengan Chan Chong Ming adalah merangkul pingat emas Sukan Komanwel Manchester 2002 serta pingat gangsa Kejohanan dunia 2001 dan Sukan Asia Busan 2002.

Sementara itu, Peng Soon mengakui lebih cenderung untuk mendapatkan khidmat jurulatih tempatan berbanding antarabangsa dan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin sebelum bermulanya pusingan kelayakan Olimpik Tokyo 2020, April depan.

“Mesti dari Malaysia. Itu adalah pilihan utama kerana kami akan mewakili negara. Harap perkara ini boleh diselesaikan sebelum bulan Mac kerana April sudah mula kelayakan Olimpik. Jadi, kami berharap dalam sebulan dua ini segalanya dapat diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, menanti bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu dalam pusingan esok adalah pasangan dari China, Lu Kai-Chen Lu.

Peng Soon berkata terdapat perbezaan beraksi sebagai pemain bebas di laman sendiri kerana tekanan di gelanggang lebih rendah jika dibandingkan ketika beraksi sebagai beregu utama kebangsaan.

“Tekanan tetap ada, cuma keadaan sekarang, kami saling tegur kesilapan masing-masing berbanding dulu, jurulatih akan tegur kesilapan kami,” kata Peng Soon.

-- BERNAMA