Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, boleh dilabel sebagai "pembunuh gergasi" dalam Kejohanan Masters Malaysia 2019 apabila satu demi satu pemain ternama tewas di tangan pemain muda itu.

Di peringkat suku akhir hari ini, hanya Jin Wei pemain bukan pilihan dan di luar kelompok 10 terbaik yang berjaya mara ke peringkat tersebut.

Namun, dia membuktikan mempunyai sentuhan kelas dunia apabila menjadikan pemain ketujuh dunia, He Bingjiao mangsa terbarunya dengan mudah menyingkirkan pemain itu 21-15, 21-16 selepas beberapa hari lalu mengetepikan Akane Yamaguchi, pilihan ketiga kejohanan, dalam pusingan pertama.

Lawan menanti selepas ini adalah Ratchanok Intanon, dan Jin Wei sudah bersedia untuk menumbangkan satu lagi bintang dunia di laman sendiri.

"Saya baru sahaja menewaskan dua pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia. Jika saya dapat mengekalkan rentak konsisten dalam saingan akan datang, ia akan membantu memperbaiki kedudukan saya dalam ranking dunia," kata Jin Wei.

Turut sama mencipta kejutan adalah pemain perseorangan profesional, Liew Daren, yang menyingkirkan juara dunia 2018, Shi Yuqi dari China, untuk menempah slot separuh akhir.

Daren yang langsung tidak diberikan harapan, mampu mengatasi Yuqi dalam pertembungan tiga set, untuk menang 21-12, 16-21, 21-11 dan akan berentap dengan pilihan keempat dari Korea Selatan, Son Wan-ho, dalam separuh akhir esok.

"Sebelum beraksi, saya tidak menjangka untuk menewaskan dia. Tetapi selepas memenangi set pertama, ia meningkatkan semangat saya," kata Daren.