Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, melakar satu lagi kejutan besar di Arena Axiata sebentar tadi apabila menumpaskan pemain ranking ketujuh dunia dari China, He Bingjiao, sekali gus menempah tiket ke separuh akhir Masters Malaysia 2019.

Jin Wei, yang turun selaku pemain bukan pilihan, berjaya mendominasi perlawanan untuk menang straight set 21-15, 21-16 ke atas Bingjiao.

Ditemui selepas tamat perlawanan, Jin Wei berkata, “Selaku underdog saya terus memberi tekanan kepada pihak lawan supaya dia mahu cepat mematikan bulu tangkis. Saya rasa bertuah mara hingga ke separuh akhir. Lagipun, saya dapat sokongan padu daripada penyokong yang banyak membantu.”

Ditanya mengenai pertemuan yang juga getir bertemu juara bertahan dari Thailand, Ratchanok Intanon, esok, Jin Wei berkata, “Saya tidak fikir tentang kejohanan tahun lepas walaupun berjaya mencuri satu set kemenangan semasa Masters Malaysia.

“Saya hanya akan berjuang tanpa memikirkan apa-apa. Lagipun dia adalah juara dunia, saya boleh belajar daripadanya.” ujarnya lagi..

Selain Jin Wei, pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, turut mengisi slot separuh akhir Masters Malaysia 2019 selepas menundukkan pasangan nombor tiga dunia dari Jepun, Takeshi Kamura- Keigo Sonoda, 21-19, 21-16.

Yew Sin-Ee Yi bakal bertemu sama ada rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atau Kim Astrup- Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark.

Kecuali Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang terkandas, pemain Malaysia yang juga menceriakan penyokong di Arena Axiata apabila berjaya melepasi peringkat suku akhir adalah pasangan profesional negara, Chan Peng Soon- Goh Liu Ying, dan juga pemain persorangan lelaki, Liew Daren.